Terbukti propaganda pihak sebelah sana fitnah – Najib

0
2

DATUK Seri Najib Razak menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak usaha kerajaan untuk melucut hak barangan mewah disita polis daripadanya serta keluarga selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, terbukti suatu propaganda.

“Entah berapa kali dah, kerajaan kalah kes berhubung lucut hak kononnya barang atau duit 1MDB dari zaman Pakatan Harapan (PH) lagi.

“Terbukti sekali lagi bahawa propaganda pihak sebelah sana bahawa Najib penyamun yang samun duit untuk beli cincin, barang mewah dan sebagainya adalah fitnah.

“Kan dah dibuktikan bahawa kebanyakan wang yang saya terima dari Arab Saudi sudah diberi untuk tujuan khimat sosial (CSR) atau sedekah. Bukan untuk beli barang atau untuk saya simpan untuk kegunaan peribadi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Najib berkata barang-barang yang disita kebanyakannya hadiah diterimanya serta keluarga dari kawan-kawan dalam dan luar negara sejak berpuluh tahun lalu.

Katanya lagi, terbukti beberapa kali di mahkamah juga bahawa akaun atas namanya pernah menerima sekurang-kurangnya RM642 juta yang dipindah terus dari akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Pada masa sama, kata Ahli Parlimen Pekan itu wang yang disebut RM2.6 bilion itu sudah dikembalikan kepada penghantar empat bulan selepas diterima.

“Paling pelik ialah setelah pihak kerajaan siasat semasa mereka sita barangan tersebut dari rumah saya selepas PRU14, pihak pendakwaan serta polis telah mengaku bahawa barang-barang tersebut adalah hadiah.

“Tapi tidak dikembalikan pula supaya pihak sana boleh teruskan propaganda fitnah mereka terhadap saya. Hakim pun sebut perkara ini pagi tadi,” katanya lagi.

Terdahulu pagi tadi, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal membuktikan barangan tersebut dibeli dengan menggunakan dana 1MDB.

“Adalah tidak mencukupi bagi pegawai penyiasat untuk hanya menyatakan pergerakan wang masuk dan keluar daripada akaun bekas Perdana Menteri dalam afidavitnya.

“Tidak diragui terdapat amaun besar yang masuk dan keluar dari akaunnya (Najib) tetapi mahkamah tidak dapat mencari kesalahan berdasarkan syak wasangka,” katanya.

Kerajaan mahu melucut hak ratusan barangan berharga yang disita daripada Najib, Rosmah dan 16 individu serta syarikat.

Ia termasuk beg tangan, wang tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan, kasut dan 27 kenderaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here