POLIS mengesahkan menerima tiga laporan berkaitan tindakan calon bertanding membawa penyokong ketika proses penamaan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis membabitkan kejadian itu di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara serta Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas di Melaka Tengah.
Katanya, satu lagi lokasi membabitkan Dewan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) Bukit Baru.
“Setakat jam 2.30 petang tadi, tiga kertas siasatan dibuka membabitkan tindakan calon membawa penyokong ke pusat penamaan calon.
“Kertas siasatan itu akan dibuka mengikut Akta 342 dan sekiranya didapati berlaku kesalahan polis akan mengeluarkan kompaun,” katanya seperti dilaporkan portal Melaka Hari Ini (MHI).
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah memaklumkan menerima dua laporan polis di Telok Mas dan Tanjung Bidara sebelum satu lagi diterima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Melaka. – Malaysiapost

