Pelanggan nafi diberitahu saiz, berat ikan siakap ‘kayangan’ sebelum buat tempahan

0
2

PELANGGAN yang terpaksa membayar hidangan ikan siakap harga ‘kayangan’ menjelaskan tidak dimaklumkan oleh pemilik restoran terapung di Taman Geoforest Karst Kilim, Langkawi terlebih dahulu berkenaan saiz dan berat ikan itu sebelum membuat tempahan.

Menerusi hantaran pemilik akaun Facebook Mohd Faris Zulkarnain, menjelaskan peniaga tersebut tidak memaklumkan ikan tersebut bersaiz besar dan seberat tujuh kilogram (kg).

“Saiz ikan siakap yang ditunjukkan kepada kami (dengan anggaran tangan) sewaktu memaklumkan besar ikan tersebut berbeza sewaktu dia tunjukkan kepada media,” katanya dalam hantaran itu.

Mohd Faris juga menafikan dakwaan peniaga itu telah mengajaknya untuk menangkap dan melihat ikan siakap yang dimaksudkan tersebut.

Katanya, dakwaan bahawa pihaknya yang bersungguh-sungguh mahukan ikan tersebut seperti yang dikatakan peniaga juga tidak benar.

“Penjelasan yang diberikan oleh peniaga terbabit mengelirukan dan turut berkongsi hantaran pelanggan lain yang mengalami nasib yang sama,” ujarnya.

Susulan itu, Mohd Faris telah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai perkara tersebut dan bersedia tampil memberi penjelasan untuk membantu.

Dalam pada itu, dia berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan isu tersebut secara baik dan berhemah.

Katanya, orang ramai juga diminta berhenti daripada mengeluarkan komen berlebihan yang berbaur fitnah, kecaman, kejian, penghinaan, caci dan maki kepada mana-mana pihak.

“Biarlah pihak yang berwajib menjalankan tugas mereka dan menjalankan siasatan mereka dengan teliti,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, BH Online melaporkan KPDNHEP sudah mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan 2011 kepada peniaga restoran terapung di Langkawi pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad, notis itu perlu dijawab dalam tempoh lima hari iaitu sebelum Khamis ini bagi mengelak sebarang tindakan sekiranya pemilik restoran berkenaan gagal berbuat demikian.

“Kita beri tempoh lima hari untuk pemilik restoran berkenaan menjawab beberapa perkara di dalam notis itu antaranya berkaitan kos ikan siakap, makanan dan apa-apa yang ada dijual di situ.

“Setakat ini kita masih menunggu maklum balas daripada pemilik restoran itu, buat masa sekarang kita tidak boleh kata salah atau tidak, sebaik sahaja kita terima notis itu kita akan analisa setiap kos yang diberikan secara terperinci samada berlakunya kenaikan harga tidak munasabah atau sebaliknya,” katanya.

Mohd Shahran berkata, sehingga kini hanya satu aduan berkaitan diterima pihaknya dan beliau meminta pengguna yang mengalami situasi yang sama terus membuat laporan kepada KPDNHEP.

Katanya, pengguna perlu membuat pilihan yang bijak serta membandingkan harga sebelum membuat pilihan barang atau makanan.

“Sekarang kita sedang lancarkan Ops Menu, operasi ini bukan sahaja kita fokus kepada harga pada menu tetapi juga kepada alat timbangan sama ada alat itu masih sah atau tidak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, makan tengah hari sekumpulan pelancong di sebuah restoran terapung di Langkawi menjadi mimpi ngeri dengan harga ikan siakap yang didakwa terlalu mahal.

Berdasarkan satu resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial, ikan siakap seberat 7.48 kg yang dipesannya berharga RM1,196.80.

Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan itu termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM1,759.50 dan tular di media sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here