CALON Barisan Nasional (BN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan pertandingan individu untuk menunjukkan siapa yang meraih lebih populariti.
Sebaliknya beliau berkata, ia pertandingan antara semua parti sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), yang berbeza ideologi dalam menguruskan kelesterian rakyat di Melaka.
“Ini bukan pertandingan individu untuk menunjukkan siapa yang lagi popular, tetapi antara dua parti berbeza ideologi bagaimana sebuah parti boleh melestarikan rakyat dalam pimpinannya di peringkat pengurusan kerajaan negeri,” katanya hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka itu berkata, rakyat juga dapat melihat pentadbiran kerajaan BN di Melaka diuruskan dengan baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.
“Jadi kita melihat bahawa terbukti peluang telah diberi kepada parti yang menguruskan tadbir Melaka selama 22 bulan dan kita lihat selama 18 bulan BN menunjukkan kematangan dalam menguruskan rakyat Melaka dalam tempoh tersebut,” katanya.
Ab Rauf berdepan saingan tiga penjuru di kerusi DUN Tanjung Bidara melibatkan calon PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon PH, Zainal Hassan. – Malaysiapost

