PENGUNDI yang positif Covid-19 atau perlu menjalani kuarantin di rumah atau hospital, tidak dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata kawalan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dilaksanakan pada hari pengundian kelak.
Katanya, semua pengundi perlu menjalani saringan dan imbasan suhu badan di pintu masuk pusat mengundi, dan mereka yang bergejala atau memiliki suhu melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasingkan di dalam khemah khas.
“Semua pengundi perlu mematuhi SOP asas seperti saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di pusat pengundian.
“Jika ada individu bergejala atau memiliki suhu melebihi 37.5, kita asingkan mereka di dalam khemah bergejala, dan ada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan membantu mereka mengundi dan melakukan ujian Covid-19.
“Namun, individu yang memang sudah positif Covid-19 dan dikuarantin di hospital dan sebagainya tidak dibenarkan kerana KKM tidak membenarkan mereka keluar,” katanya pada sidang media hari ini.
Abdul Ghani berkata, pihaknya memberi jaminan kepada pengundi bahawa SOP yang digariskan mencukupi untuk menjamin keselamatan mereka dan mengekak jangkitan Covid-19 di pusat pengundian.
“Kepada pengundi, jangan bimbang. Setakat pilihan raya yang kita laksanakan sehingga hari ini, termasuk di Sabah, tiada kes Covid-19 di pusat pengundian.
“Jadi, pengundi tidak perlu bimbang dan boleh keluar menjalani proses mengundi pada hari berkenaan,” katanya.
SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar. – Malaysiapost

