BN-PN rebut kuasa di Melaka, bukti Kerajaan Persekutuan pincang

0
2

[PARLIMEN] MESKIPUN pertembungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan perkembangan positif politik negara, namun tidak dapat dinafikan kerjasama parti dalam Kerajaan Persekutuan kucar-kacir.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata ia susulan berlaku perebutan kuasa di peringkat negeri melibatkan parti-parti dalam kerajaan Persekutuan.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) menghargai kestabilan politik menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai, namun kesal terhadap pergolakan melibatkan dua gabungan parti dalam kerajaan itu, sekali gus terus dipersoal pembangkang.

“MoU kerajaan dan PH bertujuan untuk kestabilan politik negara, inilah dilaungkan titah Agong untuk melihat kestabilan politik dalam negara, tetapi apa yang berlaku, kami dari PH menghargai sehingga bersedia menandatangani MoU dengan kerajaann untuk wujudkan kestabilan dalam negara, tapi apa yang berlaku porak peranda dalam kerajaan.

“Saya sendiri tidak dapat pastikan kerajaan ini BN atau PN. Tapi hakikanya kerajaan ini sedang mengalami porak poranda. Hari ini di Melaka, PRN Melaka, pertembungan di kalangan BN dan PN.

“Walaupun dari sudut politik bagus untuk kebaikan, saya tidak melihat kenapa ini berlaku sedangkan di peringkat Persekutuan, kita ada kerajaan BN dan PN, tiba-tiba di Melaka berebut kuasa. Mana maruah?,” Soalnya ketika membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mahfuz menambah, lebih memburukkan lagi apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bertanding di PRN Melaka dan bertembung pula dengan Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Ia memperlihat keadaan kerajaan ini pincang. Bukan itu sahaja, PAS dulu dengan Umno, tetapi hari ini Ketua Dewan Ulama’ doakan tentang kehancuran Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here