Calon KM: ‘Saya atau Adly tak penting’ – Idris

0
1

DATUK Seri Idris Haron tidak kisah jika tidak dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Sebaliknya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno itu menegaskan agenda utamanya ialah memastikan PH menang pada PRN ini sekali gus dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Melaka.

Katanya, soal siapakah calon Ketua Menteri baru PH tidak menjadi isu utama gabungan tersebut ketika ini.

“Dalam kaedah pilihan raya ni, kita tak letakkan sesiapa pun saya ke, Adly Zahari ke (sebagai KM), sesiapapun.

“Idris Haron tak penting. Yang penting adalah kita nak tawarkan benda lebih baik kepada rakyat negeri Melaka. It has to be 15 of us. Kalau seorang tak jadi.

“Saya tak kisah siapapun (KM), yang penting kita seberangi jambatan ni dan berjaya membentuk dan barulah kita fikirkan siapa ketua menteri,” katanya kepada media sebaik sahaja selesai proses penamaan calon di Kolej Komuniti Selandar, Melaka, hari ini.

Idris yang mengetuai empat bekas Adun yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali bulan lalu akan ditentang lima pencabar dalam saingan enam penjuru di DUN Asahan.

Bekas Ketua Menteri Melaka ketika era pentadbiran BN menyifatkan pertandingan enam penjuru bagi DUN Asahan kali ini melambangkan “demokrasi yang subur”.

“Dalam keadaan kita dikekang dengan Covid-19, kita perlu patuhi SOP (prosedur operasi standard) dan telah banyak diingatkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagaimana peraturan the do’s and don’ts.

“Tapi bila kita lihat bila ada enam calon maksudnya demokrasi subur di Asahan sepertimana tanahnya,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang mengatakan PKR melakukan kesilapan dengan memilih Idris dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Idris berkata apa yang penting adalah pilihan pengundi negeri Melaka.

“Dalam politik ini semua orang boleh beri pandangan dan pandapat tapi akhirnya pengundi yang akan pilih.

“Jadi dalam keadaan ni kesilapan atau tidak ia telah berlaku.

“Sekarang ni boleh berlaku apa saja. Idris Haron dan Nor Azman tak penting, yang penting rakyat Melaka ditawarkan kerajaan yang bersih,” katanya.

DUN Asahan menyaksikan pertandingan enam penjuru Idris (PH), Dhanesh Basil (PN), Fairul Nizam Roslan (BN), Azhar Abd Hamid (bebas), Mohd Noor Salleh (bebas) dan Akhir Ayob (bebas). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here