SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima 112 kertas pencalonan bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata selepas tempoh penamaan berakhir jam 10 pagi tadi, seramai 112 calon mewakili pelbagai parti sah bertanding dalam PRN Melaka ke-15.
Katanya, daripada jumlah itu 96 calon adalah lelaki manakala 16 lagi calon wanita.
“Daripada 112 calon itu, masing-masing 28 calon daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, manakala lima dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).
“Selain itu satu daripada Parti Perikatan India Muslim Nasional dan 22 calon Bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan calon terbanyak bertanding iaitu enam penjuru iaitu Asahan, Duyong dan Gadek.
Selain itu, katanya, terdapat lima DUN menyaksikan pertembungan lima penjuru dan sembilan DUN melibatkan empat penjuru.
“Manakala, baki 11 lagi DUN hanya melibatkan pertembungan tiga penjuru,” katanya.
Abdul Ghani berkata pada PRN Melaka kali ini disertai calon termuda berusia 21 tahun yang bertanding di Sungai Rambai, manakala calon tertua berumur 68 tahun bertanding di DUN Pengkalan Batu. – Malaysiapost

