BEBERAPA kejadian tular mengenai ramai yang ‘terkena’ dengan harga ikan siakap mencecah ribuan ringgit, mengundang perhatian Datuk Seri Vida (DSV).
Usahawan kosmetik sensasi itu lantas menawarkan diri membayar semula jumlah RM1,738 kepada pelanggan berkenaan.
Vida atau nama penuh Hasmizah Othman, 50, menerusi sesi siaran langsung memberitahu mahu membantu pelanggan itu yang terpaksa membayar harga ‘kayangan’ bagi hidangan ikan siakap.
“Saya ada baca kisah ikan siakap viral. Kebetulan saya masih bercuti di Langkawi, saya rasa terpanggil untuk belanja atau bayar balik harga ikan siakap yang telah dibayar oleh keluarga tersebut.
“Kiranya saya belanjalah makan ikan siakap itu dan nak bayar balik kepada wanita itu. Bolehlah dia dapat duit tersebut semula bagi kegunaan hal lain,” katanya.
Dalam sesi siaran langsung sama, tidak lama kemudian seorang wanita yang juga pelanggan itu muncul untuk memberi respon kepada tawaran Vida.
Katanya, niatnya bukan untuk menularkan kejadian tersebut tetapi mahu situasi sama tidak berlaku kepada orang lain.
“Kes ini kami ketengahkan supaya tiada lagi akan dianiaya. Kami tiada niat pun nak viralkan hal ini,” ujarnya.
Wanita itu juga menolak dengan baik tawaran Vida dan mahu usahawan tersebut membelanjakan wang berkenaan kepada mereka yang lebih memerlukan.
“Bukan kami nak sombong untuk tak menerima pelawaan Datuk tetapi Alhamdulillah rezeki kami masih ada. Kami cuma kecewa dengan etika peniaga tersebut kerana tidak telus.
“Saya dan rakan-rakan lain sudah sepakat, jika Datuk masih nak beri wang tersebut, sebaik-baiknya salurkan kepada individu lain atau bantu peniaga-peniaga kecil di Langkawi.
“Kepada peniaga, berniagalah dengan telus kerana Allah SWT. Janganlah aniaya pelanggan,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial hidangan makan tengah hari sebuah keluarga di salah satu pulau peranginan berjumlah RM1,738.
Hantaran itu memaparkan bil yang diterima yang menunjukkan harga hidangan ikan siakap ‘kayangan’ yang didakwa terlalu mahal dan tidak diberitahu harga terlebih dahulu kepada pelanggan. – Malaysiapost

