
PAS konsisten akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN) sekiranya berlaku pertembungan dengan calon Umno dan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November nanti.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia selaras dengan kedudukan parti itu yang juga ahli parti komponen PN.
“Strategi PAS pusat yang buat keputusan dan keputusan dibuat kita akan pakai logo PN.
“Kita akan undi PN lah. Pakai simbol sama. Kita tengok Umno pakai simbol apa,” katanya ketika ditanya pemberita pada sidang media sempena Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ni.
Dia berkata demikian ketika ditanya berkenaan apakah pilihan penyokong PAS jika berlaku pertembungan antara calon Umno dan PN dalam PRN Melaka.
Pagi ini BN mengumumkan senarai calonnya di kesemua 28 kerusi DUN di Melaka.
Umno akan bertanding di 20 kerusi, MCA dengan tujuh kerusi dan MIC dengan satu kerusi.
Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menjawab segala persoalan berhubung dengan kerjasama dengan parti lain, dengan berkata gabungan itu akan bergerak secara solo dalam PRN kali ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata PAS berpendirian PN akan bertanding di semua kerusi di Melaka.
“Pendirian kita PN akan tanding semua, terpulang kepada Umno dia nak ikut PN atau nak bertanding sendiri. Kita tengok nama calon nanti.
“Amanatnya kita (kepada ahli) mendukung PN, dan PAS telah bersetuju akan bersama PN dalam pertandingan ini,” katanya lagi.- Malaysiapost
