PN guna formula 15, 8, 5 di PRN Melaka

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) secara rasminya mengumumkan bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu telah bersetuju mempertaruhkan harapan kepada 15 calon daripada Bersatu, lapan daripada PAS dan lima daripada Gerakan untuk menawan PRN Melaka pada 20 November ini.

“Alhamdulillah, parti-parti komponen Perikatan Nasional yang akan mengambil bahagian dalam Pilihanraya Negeri Melaka iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang diadakan semalam telah mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi dan senarai calon yang akan bertanding.

“Kami anggap kami semua ini adalah bersaudara dalam satu pasukan politik yang harmoni.

“Selaras dengan prinsip demokrasi dan tanggungjawab parti politik untuk menyertai pilihanraya serta kesedaran untuk menawarkan kepimpinan yang bersih dan berintegriti kepada rakyat negeri Melaka, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional juga telah memutuskan bahawa Perikatan Nasional akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka,” katanya pada majlis pengumuman calon PN bagi PRN Melaka di Shah Alam, hari ini.

Antara kerusi yang menjadi tumpuan pastinya di DUN Tanjung Bidara apabila pemimpin Serikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bakal menemukan lawan daripada Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here