YANG di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Batu Karak, Bentong, Pahang, hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di kawasan di kampung berkenaan tepat jam 10.15 pagi tadi.
Seri Paduka Baginda berdua disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Pahang, Datuk Abdul Rahim Muda dan Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd Zulkifli Hashim.

“Menzahirkan keprihatinan dan keperibadian tinggi terhadap rakyat yang ditimpa musibah, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong hari ini berkenan mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak, Bentong, Pahang.
“Sejurus ketibaan, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menerima sembah taklimat oleh Pegawai Daerah Bentong berkenaan kejadian kebakaran yang telah melibatkan 161 mangsa daripada 51 buah rumah dan 8 buah kedai,” menurut kenyataan itu.
Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri turut berkenan berangkat meninjau kawasan kebakaran dan meluangkan masa menyantuni serta mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran.
Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa kebakaran dan harapan agar mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan musibah yang telah menimpa.

“Semoga sumbangan dari Seri Paduka Baginda berdua dapat meringankan beban yang ditanggung mereka.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak swasta yang telah menyumbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran,” katanya.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru pihak berkuasa untuk membuat kajian dan memberi perhatian yang menyeluruh, khususnya dalam aspek keselamatan, keperluan dan keselesaan, dalam proses pembinaan semula rumah-rumah dan kedai mangsa-mangsa kebakaran. – Malaysiapost

