Toyota Vellfire: ‘Kenapa salah Najib? tanyalah pada Atok dengan Abah’

0
1
Najib Razak

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas pihak tertentu yang menyalahkannya berhubung keputusan kerajaan menggantikan kereta rasmi menteri kepada Toyota Vellfire 2.5L bermula April lalu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sedangkan yang mencadangkan penggantian kenderaan rasmi menteri itu dibuat ketika pentadbiran Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu pada Januari 2020.

“Kenapa salah Najib pulak? Yang cadang Vellfire untuk Menteri pada bulan Januari 2020, kerajaan PM7 (Dr Mahathir).

“Yang akhirnya mula ganti dengan Vellfire pada bulan April 2021 semasa Darurat dan takde Parlimen, kerajaan PM8 ( Tan Sri Muhyiddin Yassin).

Sehubungan itu, Najib meminta pihak yang membuat tuduhan terhadapnya supaya mempersoalkan perkara itu kepada Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin.

“Nak tanya, tanyalah pada Atok dengan Abah kau.

“Bulan April 2021 itu juga masa PM8 kata kerajaan dah tak banyak duit lagi untuk bantu Rakyat selepas dia belanja RM600b,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mempersoalkan tindakan kerajaan menyediakan kemudahan kenderaan rasmi baharu jenis Toyota Vellfire kepada semua menteri ketika rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, kemudahan yang membabitkan kos sebanyak RM5,759.35 sebulan bagi setiap kenderaan terbabit diberikan kepada menteri ketika rakyat sedang kehilangan kerja, syarikat lingkup dan kes bunuh diri menjadi-jadi pada tahun ini.

Katanya, perkara itu berlaku sejak April lalu, di mana hutang negara telah mencecah sehingga RM1.3 trilion dan hutang kerajaan pula mencecah 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Adakah kemewahan ini satu keperluan? Mereka ini yang dulu lantang membantah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mempertimbangkan cadangan untuk menukar kereta.

“Sekarang mereka seronok menikmati kemudahan ini tanpa perasaan segan silu. Segala bantahan dulu nampaknya telah dicurahkan ke laut Selat Melaka.

“Paling nyata, Najib (BN-Pekan) yang lantang membantah kerajaan PH, sekarang membisu seribu bahasa,” sindirnya.

Berdasarkan jawapan bertulis yang diterimanya, kerajaan telah memulakan proses penggantian kereta rasmi menteri-menteri daripada Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L bermula April 2021.

Turut dimaklumkan, kerajaan membayar kos pajakan bulanan sebanyak RM5,759.35 yang terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74.

Sehingga September lalu, kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada syarikat konsesi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here