
SEORANG pemimpin Umno mengaitkan tindak-tanduk Bersatu umpama Israel yang mengambil tanah Palestin.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata apabila Israel mengambil tanah Palestin, rejim itu terus mengugut dan mengancam sesiapa yang enggan bekerjasama.
Malah, katanya, Israel juga menggunakan modal ‘demi keamanan’ untuk memastikan Palestin akur dengan tindakan mereka.
“Bila Israel mengambil tanah Palestin, mereka terus mengugut dan mengancam siapa yang enggan bekerjasama dengannya.
“Katanya demi keamanan. Ada yang akur dan ada yang terus menentang,” katanya dalam hantaran Facebook.
Ahmad Shabery mengibaratkan situasi Israel-Palestin itu yang berlaku dalam hubungan Umno dan Bersatu.
“Bila ada parti yang mengambil banyak kerusi-kerusi yang dimenangi oleh parti lain, mereka mengingatkan kepada yang enggan bekerjasama dengannya.
“Katanya demi perpaduan. Ada yang akur dan ada yang terus menentang,” katanya.
Dalam hantaran sama, Ahmad Shabery turut memuatnaik tangkap layar laporan media kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mohamed Azmin berkata, pihaknya membiarkan rakyat membuat keputusan bagi mengadili sikap serta kenyataan pihak yang tidak mahu bekerjasama dengan PN dalam PRN Melaka.
Beliau berkata, bagi pihak PN, gabungan itu hanya menganjurkan perpaduan dan kerjasama demi rakyat dan kepentingan negeri Melaka.
“Itu pilihan mereka. Biarlah rakyat membuat penghakiman tentang sikap dan kenyataan pihak-pihak yang tidak mahu bekerjasama,” katanya.
Mohamed Azmin berkata sedemikian mengulas keputusan enam Umno Bahagian di Melaka yang menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini. – Malaysiapost
