PERPADUAN antara Umno dan Bersatu antara agenda yang akan dibincangkan PAS dalam Muktamar Tahunan PAS ke-67 secara hibrid di Kuala Terengganu, Sabtu dan Ahad ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata agenda perpaduan merupakan antara inti pati di dalam ucapan dasar yang akan dibincangkan bertepatan tema muktamar tahun ini iaitu ‘Islam Menyatukan Ummah’.
Beliau berkata, agenda perpaduan ummah yang dibawakan PAS bersifat meluas meliputi orang Melayu Islam serta parti-parti yang mempunyai aspirasi sama.
“Kita bukan sahaja hendak membincangkan perkara itu (dalam muktamar) malah kita memainkan peranan ke arah itu dan dibuktikan melalui pelan tindakan kita.
“Sehingga kini PAS masih berusaha menyatupadukan perpaduan ummah. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pun kita memainkan peranan utama untuk menyatukan ummah kerana ia merupakan agenda Presiden parti dan didokong oleh semua kepimpinan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Muktamar PAS ke-67, hari ini.
Takiyuddin berkata, PAS bagaimanapun tidak mengundang rakan politik daripada parti lain untuk hadir pada muktamar kali ini memandangkan ia diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana masih dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Perjalanan muktamar kali ini tidak seperti biasa di mana pada tahun ini kita tidak menjemput rakan-rakan politik lain dan hanya menjemput individu seperti veteran PAS,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan parti pada muktamar itu, Takiyuddin berkata, dua jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man diputuskan untuk tidak dipertandingkan. – Malaysiapost

