DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak terbubar susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menamatkan Proklamasi Darurat di negeri berkenaan semalam.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata susulan itu Pilihan Raya Negeri (PRN) hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
Menurutnya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berhubung dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat semalam.
“Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, DUN hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat dibatalkan atau diungkaikan.
“Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat dibatalkan atau diungkaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru itu, menurutnya SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.
“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak, semalam selepas menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Istana Negara.
Perkenan itu juga dibuat selepas menimbang Baginda memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan yang lain.
Penamatan Proklamasi Darurat Sarawak diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu. – Malaysiapost

