BELUM sampai 24 jam single pertama ‘Hujan’ nyanyian Iqbal Zulkefli dilancarkan, lagu itu sudah menerima kritikan pedas daripada pengacara sensasi Azwan Ali atau dikenali dengan Diva AA.
Azwan menerusi ciapan di Twitter, tanpa berselindung memberitahu akan membuang cakera padat (CD) lagu nyanyian bekas pembantu peribadi Datuk Seri Vida itu walaupun diberikan secara percuma.
“Kau bagi free pun? Diva AA buang ke laut CD kau!,” tulis Azwan.
Dalam entri itu juga Azwan memuat naik tangkap layar artikel yang menceritakan lagu Hujan itu adalah kisah suka duka Iqbal dalam hidupnya.
Sebelum ini, komposer Dr Azmeer juga dilapor memberi peringatan kepada mana-mana usahawan tempatan agar berhenti memperlekehkan industri seni muzik tanah air dengan menceburkan diri dalam dunia seni suara untuk tujuan publisiti murahan.
Katanya, jika seseorang itu tidak memiliki bakat menyanyi, lebih baik lupakan sahaja hasrat untuk memeriahkan industri dengan produk seni tidak berkualiti bagi tujuan ‘marketing’ atau publisiti.
Single Hujan nyanyian Iqbal dilancarkan petang semalam, mendapat sentuhan komposer dan penyanyi Oja dan dua anggota Floor88 iaitu Zai Hamzah dan Achoi sementara lirik oleh Iqbal sendiri serta Zai dan Achoi.
Sementara itu, video muzik Hujan pula diarahkan oleh Eric Fuzi Floor88 dan diterbitkan oleh Rusa Music. – Malaysiapost

