Harga tiket penerbangan bukan ditetapkan kerajaan – Ka Siong

0
1

HARGA tiket dan kekerapan penerbangan domestik ditentukan syarikat penerbangan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, kerajaan tidak menetapkan harga tiket penerbangan berdasarkan ketetapan rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada tahun 2006.

“Seperti mana saya katakan, berdasarkan keputusan Kabinet pada 2006 kita tidak lagi buat intervensi berkaitan harga (tiket penerbangan).

“Syarikat penerbangan diberi kebebasan dalam menentukan liputan rangkaian, kekerapan penerbangan dan kadar tambang ingin ditawarkan berdasarkan permintaan pasaran melalui kaedah dinamik,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai langkah yang boleh dilakukan kerajaan dalam mengawal harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang melambung tinggi.

Ka Siong turut menegaskan, harga tiket penerbangan bagi laluan ke Sabah dan Sarawak yang tinggi dijangka kembali ke paras purata apabila kekerapan penerbangan kembali seperti biasa.

Katanya, ia akan dapat dilihat selepas kerajaan Sarawak pada 25 Oktober lalu bersetuju membenarkan peningkatan kekerapan penerbangan ke negeri berkenaan daripada 89 kepada 233 penerbangan seminggu, tanpa had kapasiti penumpang, mulai semalam.

“Kebenaran itu akan membolehkan syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti kekerapan operasi dan menawarkan harga tiket yang lebih rendah.

“Pada waktu ini, kerajaan Sarawak dan Sabah wajar mempertimbang untuk mempermudah protokol kesihatan bagi kemasukan penumpang ke dua negeri itu dan perkara ini perlu disokong oleh peningkatan keyakinan penumpang untuk terbang di fasa endemik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here