KERAJAAN sedang merangka Aspirasi Pelaburan Nasional baharu untuk menarik pelaburan yang strategik dan memiliki nilai impak ekonomi tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ia bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan sebagai rakan dagang serta destinasi pelaburan pilihan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang merangkanya.
“Malaysia merupakan negara yang kompetitif di dalam perdagangan dunia, oleh itu negara perlu bersikap terbuka untuk meneroka dan melaksana inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan.
“Keupayaan ini akan menyokong dan menggalakkan integrasi antara industri tempatan dengan rantaian bekalan serantau dan global,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri 2020 di Kuala Lumpur, malam ini.
Beliau berkata, selain itu sejajar agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau, kerajaan juga akan memperkukuhkan pendekatan berteraskan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kerajaan sedar, sekiranya kita berhasrat untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah, produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian ESG yang ditetapkan.
“Kita akan ketinggalan sekiranya kita mengambil sikap sambil lewa dan bertangguh dalam usaha ke arah penerapan elemen ESG ini.
“Marilah kita semua bersama-sama untuk maju ke hadapan sebagai sebuah Keluarga Malaysia dalam usaha merancakkan ekonomi supaya negara kita Malaysia bangkit dengan lebih gemilang lagi,” katanya.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada MITI di atas penganjuran majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020, yang merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengiktiraf pencapaian cemerlang sektor industri.
“Anugerah Kecemerlangan Industri yang dianjurkan setiap dua tahun ini bertujuan untuk mengiktiraf syarikat yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.
“Ia juga bagi mendorong syarikat untuk terus menambahbaik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya. – Malaysiapost

