Salah ke saya cium tangan Najib?

0
1

“SALAHKAH saya mencium tangan Najib (Datuk Seri Najib Razak) yang datang ke kampung saya?,” kata Ahli Dewan Negara, Senator Mohammad Zahid Md Arip.

Beliau berkata demikian susulan tular gambar dan video memaparkan beliau menyambut dan mencium tangan Najib dalam satu program di Kampung Sungai Udang, Melaka, Sabtu lalu.

Katanya, perbuatan itu tidak sewajar dipolitikkan sesetengah pihak, kerana ia disifatkan sekadar menghormati hubungan peribadi antara mereka yang lama terjalin.

“Salahkah saya cium tangan Najib yang datang ke kampung saya? Sila tunjuk dalam Perlembagaan Bersatu, adakah saya tidak dibenarkan menunjukkan rasa hormat kepada beliau?

“Memandangkan saya dengan Najib kini berada dalam satu kerajaan, saya juga hendak beri isyarat kepada penyokong Umno dan Bersatu, kita kena matang dalam berpolitik,” katanya seperti dilapor Sinar Premium.

Sebaliknya, Mohammad Zahid berkata, perkara paling penting adalah kesan pertemuan itu akan dapat mengendurkan bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang semakin memuncak antara Umno dan Bersatu.

Rakaman video dan gambar tular itu dipercayai dimuat naik selepas Mohammad Zahid menerima pelawaan Najib untuk hadir menyertai programnya di Kampung Sungai Udang.

Berikutan itu, segelintir pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) menyindir tindakan Mohammad Zahid itu dan mengaitkannya dengan dakwaan beliau kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon PRN Melaka.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohammad Zahid menawarkan diri untuk bertanding menentang Najib di kerusi Parlimen Pekan, mewakili Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Sehubungan itu, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut mengenepikan dakwaan berkenaan dan menegaskan tiada keperluan untuk beliau berebut menjadi calon pilihan raya.

Katanya, hal ini kerana beliau sudah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh parti ketika ini.

“Ramai tidak ingat saya adalah individu paling kuat menentang Najib di Pekan pada pilihan raya lalu, sedangkan pemimpin yang lain hanya berani bersuara dari jauh sahaja.

“Sekali pun saya penentang kuat beliau dahulu, tidak bermakna dari segi peribadi, saya tidak boleh berkawan dengannya kerana kami sama-sama berjiwa besar.

“Bagi saya, bergaduh macam mana pun dalam politik, jangan sampai kita tidak boleh berbudi bahasa sehingga membawa dendam peribadi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here