TIADA sesiapa kebal dari segi undang-undang, kata Perdana Menteri mengulas dua parti politik dikompaun RM10,000 susulan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada kompromi kepada mana-mana pihak yang melanggar SOP serta tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan.
“Undang-undang yang ada di negara kita, mana-mana undang-undang sekalipun, ia meliputi semua pihak, semua individu, tiada sesiapa terlindung daripada undang-undang.
“Tiada sesiapa kebal dari segi undang-undang, Akta 342 jelas dari segi hukuman dan kesalahan. Walaupun kita sekarang dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), SOP jelas sudah diumumkan oleh kerajaan.
“Jadi sesiapa sahaja, pari mana sekalipun tidak terlindung atau kebal daripada undang-undang. Jika mereka melakukan kesalahan, tindakan pasti diambil,” katanya selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kompaun RM10,000 masing-masing dikeluarkan kepada Barisan Nasional (BN) dan PKR baru-baru ini.
Khamis lalu, Pejabat Kesihatan Kepong mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada BN susulan penganjuran majlis pelancaran jentera PRN Melaka di ibu negara.
Sabtu lalu, PKR pula dikompaun RM10,000 oleh polis selepas mengadakan program penerangan bergerak menggunakan lori di Melaka. – Malaysiapost

