Anwar mahu Jawatankuasa MoU peka isu dibangkitkan PH

0
1

[Parlimen] KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jawatankuasa Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mengambil perhatian mengenai isu dibangkitkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dalam Bajet 2022.

Beliau yang juga Pengerusi PH, berkata terdapat beberapa perkara yang dikemukakan mereka sebelum ini tidak dijawab oleh kerajaan.

“Saya minta satu hal yang kadang-kadang kita sentuh secara sembunyi tidak dijawab.

“Jadi saya minta jawatankuasa MoU ambil perhatian perkara ini dan bawa kepada perhatian kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, perkara itu perlu di beri perhatian kerana apa yang dibangkitkan mereka seharusnya dijawab kerajaan bukan hanya dibiarkan.

“Umpamanya kontrak Kementerian Pertahanan yang kita bangkitkan berulang kali, tidak dijawab,” katanya.

Pada 13 September lalu, Kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU itu membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here