BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat kelmarin, ada baik serta ada kekurangannya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan tersebut berkata beliau akan menggunakan peluang perbahasan di Dewan Rakyat untuk terus membawa suara rakyat.
“Bajet 2022 ini ada baik ada kekurangan juga. Saya akan gunakan peluang yang ada di Parlimen nanti dan usahakan lagi untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam hantaran sama, Najib berkata konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya ketika mula menjadi Perdana Menteri pada 2009 tetap di hatinya dan ia merentas generasi.
“Satu ketika dahulu, saya cuba pastikan setiap lapisan masyarakat menerima bantuan.
“Petani, pengusaha kecil atau usahawan. Swasta atau penjawat awam.
Bersekolah, berkeluarga atau bujang. Luar bandar, pedalaman atau di kota.
“Saya tambahkan dari setahun ke setahun. Saya jenamakan bantuan dahulu di bawah payung 1Malaysia kerana saya benar-benar mahukan semua menikmati apa yang kita mampu berikan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Bagaimanapun katanya, beliau dikecam dan diturunkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Rekod PH, ramai masih ingat kan?,” katanya. – Malaysiapost

