KETUA Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata dua laporan polis dibuat pihaknya berhubung fitnah mendakwa beliau mengeluarkan amaran ‘kata dua’ kepada PAS berkaitan hubungan parti itu dengan Umno.
Mas Ermieyati berkata, kenyataan yang tular melalui media sosial itu merupakan satu fitnah untuk melaga-lagakan PAS dan Bersatu.
“Hari ni (semalam) dua laporan polis telah dibuat oleh warga Masjid Tanah berkenaan dengan fitnah bahawa saya telah mengeluarkan satu kenyataan.
“Kenyataan itu berbunyi: ‘PAS Dilarang Terima Apa-apa Tawaran Daripada Umno dalam PRN Melaka. Patuh Kepada Ketetapan Yang Telah Dibuat oleh Perikatan Nasional Sebelum Ini’,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, tindakan itu dilakukan oleh pihak yang terdesak selepas melihat kesatuan yang jitu PAS-Bersatu bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.
“Ia untuk melagakan antara kompenan Perikatan Nasional khususnya PAS dan Bersatu yang dilihat sedang dalam Kesatuan yang jitu bagi menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lanjut perkara ini,” katanya.
Semalam, Malaysiapost melaporkan, Mas Ermieyati menyangkal mengeluarkan amaran kata dua kepada PAS berkaitan hubungan parti itu dengan Umno.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau memuat naik satu poster menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai fitnah menjelang PRN Melaka bulan depan.
Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, fitnah sudah bermula susulan bahang kehangatan PRN Melaka kian terasa. – Malaysiapost

