PEMUDA Umno mengakui kecewa apabila tuntutan pengeluaran simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara ‘one-off’ yang diperjuangkan pergerakan itu tidak dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2022, semalam.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya kecewa kerana perkara itu diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium termasuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi negara dan KWSP.
“Sejujurnya, saya dan teman-teman di Pemuda Umno Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa, apabila ada beberapa #TuntutanRAKYAT yang kami perjuangkan tidak dipenuhi.
“Walaupun tidak dinafikan sudah ada beberapa #TuntutanRakyat yang kami perjuangkan ditunaikan kerajaan termasuk moratorium tanpa faedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, pengeluaran simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off itu menjadi harapan besar majoriti rakyat Malaysia.
“Pun begitu, saya dan teman-teman di Pemuda Umno tidak boleh “lepas tangan”. Dokumen- Dokumen Belanjawan 2022 termasuklah Laporan Ekonomi dan Teks Ucapan YB Menteri Kewangan akan diteliti dengan mendalam oleh kami secara bersama.
“Banyak cabaran dan kekangan yang akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah Pemerintah untuk menjayakan Belanjawan 2022 ini.
“Andaian ekonomi dan pengenalan cukai dan duti eksais baru untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklim perniagaan dan harga pengguna kelak,” katanya.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, segala pandangan, kritikan dan cadangan-cadangan untuk penambahbaikkan Bajet 2022 oleh Pemuda Umno akan disampaikan kepada anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli-Ahli Parlimen.
“Kami mahu manfaat sebenar dari Belanjawan 2022 akan sampai kepada rakyat dan memangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan semalam bakal menjadi instrumen penting untuk pemulihan negara seperti mana yang rakyat dambakan.
“Analisa awal dan perbincangan bersama-sama teman-teman di Pemuda Umno Malaysia umumnya Bajet 2022 agak ‘Menyeluruh dan Optimistik’.
“Jumlah anggaran perbelanjaan keseluruhan bagi tahun 2022 adalah RM 332.1 billion menjadikan ianya adalah tertinggi dalam sejarah negara.
“Rumusan awal ini adalah berdasarkan pemerhatian mengenai program-program dan peruntukan untuk kumpulan-kumpulan sasar yang disebut secara spesifik oleh YB Menteri Kewangan.
“Baik anak muda, penjawat awam, pekerja-pekerja, pengusaha perniagaan, Ibu dan wanita, belia dan kanak-kanak dan banyak lagi,” katanya.
Sebelum ini, Pemuda Umno komited menuntut pengeluaran minimum i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘one off’ kepada KWSP kerana ia keperluan terdesak sebagai solusi jangka pendek supaya rakyat tidak terputus wang tunai ketika pandemik.
Menurut Asyraf Wajdi, suasana kecemasan musim pandemik memerlukan pelbagai pendekatan mendesak terutamanya bagi menjamin jaringan keselamatan sosial rakyat. – Malaysiapost

