Air pasang besar: Orang awam dilarang ke pantai di Kuala Langat

0
1

ORANG ramai dilarang memasuki kawasan pantai sekitar Kuala Langat, berikutan fenomena air pasang besar dijangka pada 3 hingga 7 November serta peralihan monsun timur laut bermula awal November ini.

Yang Dipertua Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, berkata penduduk di pesisir pantai di daerah itu juga disaran untuk lebih berhati-hati dan berwaspada sepanjang tempoh itu memandang paras air dijangka pada ketinggian 5.2 meter hingga 5.6 meter.

“Air pasang besar dijangka berlaku bermula pada Rabu hingga Ahad depan. MPKL akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terbabit.

“Antara kawasan yang dijangka akan berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkta, MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

Katanya, jika berlaku hujan lebat dan angin kencang secara serentak bersama air pasang besar, risiko berlakunya kejadian banjir akan menjadi lebih buruk.

“Orang awam yang tinggal di pesisir pantai disaran agar menyimpan semua dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat serta mudah diambil sekiranya berlaku kejadian banjir,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak khususnya penduduk daerah berkenaan diingatkan supaya tidak mendekati atau memasuki serta tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh yang ditetapkan.

“Kesemua kawasan peranginan pantai terbabit akan ditutup sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost

Foto: MPKL

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here