Umno sedia bekerjasama dengan PAS selagi bertanding atas lambang sendiri

0
1
Datuk Seri Ahmad Maslan

Najamuddin Mohd Nor

TEKA-TEKI sama ada Umno akan bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terjawab dan ianya bergantung terhadap pendirian PAS sendiri.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung malam tadi memutuskan meneruskan persefahaman dengan PAS selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi PRN Melaka.

“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam Mesyuarat pada 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam PRN Melaka,” katanya pada sidang media di PWTC, Kuala Lumpur.

Apabila ditanya soalan adakah Umno kekal dengan pendirian berkenaan jika PAS memutuskan bertanding atas lambang Perikatan Nasional (PN), Ahmad menjelaskan, perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

“Itu akan dijelaskan pada kenyataan bahawa MKT juga memberikan mandat kepada Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka,” katanya.

Ahmad menambah, keputusan mesyuarat MKT yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid ini juga memang ditunggu-tunggu oleh parti-parti lain.

“PAS sebenarnya juga sedang menunggu hasil mesyuarat MKT ini. Semua parti juga tertunggu mesyuarat MKT ini untuk membuat tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here