KEMENTERIAN Perpaduan Negara memaklumkan individu lengkap vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan menyertai aktiviti keagamaan dan sembahyang di rumah ibadat sempena Deepavali pada 4 November ini.
Kementerian itu berkata prosedur operasi standard (SOP) dilaksana mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, bagi rumah ibadat dalam Fasa 3 PPN, had kehadiran tertakluk kepada saiz ruang sembahyang rumah ibadat dengan mengambil kira penjarakan fizikal tidak kurang 1 meter (m).
“Tempoh waktu keagamaan dan sembahyang dibenarkan antara 6 pagi dan 2 petang serta antara 4 petang dan 10 malam. Pemberian makanan pula hanya dibenarkan secara berbungkus dan makan di rumah ibadat tidak dibenarkan.
“Bagi rumah ibadat yang berada dalam Fasa 4 PPN, saiz ruang sembahyang juga mengambil kira penjarakan fizikal tidak kurang dari 1meter, aktiviti keagamaan dan sembahyang dibenarkan mengikut tempoh waktu ditetapkan rumah ibadat dan pemberian makanan hanya secara berbungkus,” kata kenyataan itu hari ini.
Negeri di Fasa 3 PPN ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Selangor, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka berada di Fasa 4 PPN.
Dalam pada itu, aktiviti perarakan adalah tidak dibenarkan dan bazar jualan Deepavali dibenarkan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Selain itu, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga dan aktiviti ziarah kubur dibenarkan hanya untuk penerima vaksin lengkap sahaja,” katanya. – Malaysiapost

