PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melakukan perancangan segera untuk melaksanakan skim diskaun bayaran balik kepada peminjam seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022, hari ini.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau berterima kasih kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana meluluskan permohanannya bagi tujuan itu.
“Saya ambil maklum butiran yang diumumkan dalam ucapan Bajet 2022. Dan saya akan arahkan para pegawai PTPTN membuat perancangan segera untuk melaksanakan skim diskaun ini.
“Saya sentiasa prihatin dengan bebanan yang ditanggung oleh para peminjam PTPTN. Insha Allah saya akan berusaha membantu dari segi dasar-dasar yang mesra peminjam seperti skim diskaun ini,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan itu bertujuan membantu anak muda yang terbeban dengan suasana ekonomi semasa.
“Saya juga gembira dengan pelbagai peruntukan yang diberikan dalam rangka melindungi pekerjaan dan mencipta pekerjaan.
“Ini akan banyak memberi manfaat kepada rakyat, terutama kepada anak muda dan mereka yang terkesan dengan Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, program yang diumumkan dalam Bajet 2022 seperti JaminKerja, MyStep, rebat cukai untuk penyertaan kursus peningkatan kemahiran adalah intervensi penting untuk mewujudkan penyelesaian yang lestari.
“Pekerjaan yang stabil adalah penyelesaian sebenar kepada cabaran hidup rakyat.
“Kita mesti beri tumpuan kepada program-program sebegini supaya kita dapat keluar dari kemelut ekonomi secara tuntas dengan cepat,” katanya.
Terdahulu, dalam pembentangan Bajet 2022 kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemudahan itu melibatkan diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman
“Kedua, diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
“Sementara, ketiga diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual,” katanya. – Malaysiapost

