Mas Ermieyati sangkal beri amaran kepada PAS

0
1

KETUA Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyangkal mengeluarkan amaran kata dua kepada PAS berkaitan hubungan parti itu dengan Umno.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau memuat naik satu poster menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung bulan depan.

Beliau menafikan pernah mengeluarkan kenyataan, “PAS dilarang terima apa-apa tawaran daripada Umno dalam PRN Melaka. Patuh pada ketetapan yang telah dibuat oleh Perikatan Nasional sebelum ini.”

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, fitnah sudah bermula susulan bahang kehangatan PRN Melaka kian terasa.

“Fitnah dah bermula. Saya tak pernah keluarkan kenyataan sebegini,” katanya.

Meskipun PAS parti komponen Perikatan Nasional (PN), namun parti itu memberi jaminan tidak akan meletakkan calon di kerusi yang bakal ditandingi Umno dan Bersatu pada PRN Melaka.

Semalam, Umno memutuskan untuk terus bekerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka selari dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam Mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November lalu berdasarkan PAS menggunakan lambang partinya sendiri.

Bagaimanapun, setakat ini pucuk pimpinan PAS belum memberi reaksi balas terhadap keputusan Umno itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here