SELEPAS membuat kecoh kerana enggan memakai pelitup muka di sebuah pusat membeli belah di KLCC, wanita warga asing itu dikesan melakukan adegan yang sama sekali lagi.
Kali ini dia dikesan mengulangi kekecohan yang sama di sebuah pusat membeli belah di Bangsar.
Rakaman pengguna Twitter @nabilaazzez yang mengesan kehadiran wanita itu sehingga kini mendapat lebih 80,000 jumlah tontonan.
Ketika ditemubual Malay Mail, dia mengakui yakin wanita berbaju biru muda itu adalah individu sama yang telah mencetuskan kekecohan di media sosial di cawangan Dior KLCC, Rabu lalu.
“Kali ini, dia mahu memasuki BSC (Bangsar Shopping Complex), tetapi dinafikan kerana tidak memakai topeng dan kelihatan seperti bertengkar dengan pengawal kira-kira jam 10 pagi tadi.
“Dia kemudian meninggalkan pintu masuk selepas selesai merakamnya.
“Saya sempat merakam dia cuba memasuki pintu masuk BSC ketika sedang duduk di sebuah kafe Burrow KL, yang bertentangan dengan pintu masuk pusat beli-belah itu,” katanya.
Susulan kejadian di KLCC, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah memberi respons dengan memaklumkan pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan kejadian itu.
Tindakan kali kedua wanita itu telah menyebabkan orang ramai meminta Khairy supaya mengambil tindakan tegas terhadapnya.
Rabu lalu, wanita itu dirakam bertengkar dengan kakitangan di KLCC yang menghalangnya memasuki cawangan Dior di situ kerana dia tidak memakai pelitup muka. – Malaysiapost

