Najamuddin Mohd Nor
SEMANGAT Muafakat Nasional (MN) akan kekal menular dalam Umno walaupun pucuk pimpinan PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN), bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata MN adalah satu gagasan yang mewakili kehendak akar umbi Umno dan PAS yang mahu kedua-dua parti Melayu Islam sejak merdeka itu bekerjasama dalam politik dan mengenepikan perbezaan yang boleh memecahbelahkan orang Melayu.
“Dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno) muktamadkan ketetapan ialah tidak bekerjasama dengan Bersatu. Yang itu muktamad.
“Yang lain, yang sebenarnya, pada saya lah semangat MN ni bukan satu yang cakap-cakap orang atas.
“MN ni sampai berbulan-bulan sehingga dapatkan piagam, dah mesra kat bawah baru lah kita dapat tandatangan pembentukan kerjasama.
“Maknanya, MN ni benda yang nyata. Perikatan Nasional (PN) ni hanya pasal jawatan. Orang atas je,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysiapost selepas berakhirnya majlis perasmian jentera Barisan Nasional (BN) untuk PRN Melaka, di PWTC, malam tadi.
Mengulas mengenainya, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu mendakwa akar umbi PAS majoritinya memilih bersama Umno dan mendokong semangat MN yang telah dipupuk sejak September 2019 itu.
“Yang MN tak ada masalah, kita akan bawakan MN. Semangat MN dalam parti kita. Orang PAS di bawah bersama kita, di kampung dah mesra. Akar umbi sudah terima.
“Jadi soalnya, kalau PAS nak bertanding gunakan logo PN, itu saya ingat orang Umno tak ada masalah dengan PAS. Orang Umno tak boleh terima Bersatu sahaja,” katanya.
Untuk rekod, PAS adalah parti kompenen PN yang disertainya pada tahun lalu.
Malam ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan mengadakan mesyuarat yang antara intipatinya adalah untuk memuktamadkan sama ada parti itu akan bekerjasama dengan PAS pada PRN Melaka ini.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis perasmian jentera BN untuk PRN Melaka, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi melaungkan parti itu tidak akan sesekali bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya yang akan diadakan.
Katanya, ia selari dengan keputusan perwakilan dalam PAU pada Mac lalu untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya. – Malaysiapost

