MAJLIS pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berjalan lancar yang telah dirasmikan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Selain diadakan di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail di Pusat Dagangan Dunia di sini, majlis tersebut juga disiarkan secara langsung di platform media sosial UMNO Online, BN Comms dan Ahmad Zahid.
Majlis pelancaran terpaksa diadakan di PWTC, Kuala Lumpur susulan larangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak benarkan aktiviti berhimpun berkaitan pilihan raya diadakan di Melaka.
Majlis tetap berlangsung dengan meriah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN dan kehangatan demam pilihanraya jelas terpancar di kalangan jentera bagi memastikan BN meraih kemenangan dalam PRN Melaka nanti.
Majlis tersebut juga menyaksikan kehadiran Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga Penasihat, Datuk Seri Najib Razak; Naib Pengerusi, Tan Sri S.A Vigneswaran, Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Turut hadir kepimpinan tertinggi Umno antaranya Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Wanita, Datuk Seri Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan; Bendahari Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan, Shahril Hamdan serta kepimpinan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Jentera BN ini dilancarkan sebagai simbolik persiapan PRN Melaka yang akan bermula kempen sebaik sahaja selesai hari penamaan calon pada 8 November ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November 2021. – Malaysiapost

