Najib sekali lagi saman Tommy Thomas

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menyaman Tan Sri Tommy Thomas dan kali ini membabitkan buku tulisan bekas Peguam Negara itu yang bertajuk, ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Dalam saman yang difailkan hari ini selain Tommy, Ahli Parlimen Pekan itu turut menamakan penerbit buku berkenaan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan kedua.

Melalui saman difailkan firma guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Najib mendakwa Tommy memfitnahnya apabila mengaitkannya dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Memetik laporan Berita Harian, Najib berkata, dirinya dipaparkan dengan meluas dalam bab 42 dan bab lain buku berkenaan, yang mana pembaca akan mengetahui kenyataan fitnah terbabit merujuk kepadanya.

“Kenyataan fitnah itu diterbitkan dan diulang penerbitannya di pelbagai laman sesawang, blog dan media.

“Walaupun tuduhan itu sangat berat, kedua-dua defendan tidak melakukan sebarang tindakan untuk mengesahkan fakta dengan saya atau memberi peluang saya memberikan komen terhadap kenyataan fitnah itu.

“Perenggan itu antara lain membawa maksud saya terbabit dalam pembunuhan berkenaan, sedangkan Mahkamah Persekutuan sudah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar,” katanya.

Susulan itu, Najib memohon perintah supaya defendan memadamkan kenyataan fitnah dalam buku itu dan perintah injunksi menghalang defendan atau ejen mereka daripada mengeluarkan kenyataan sama.

Beliau turut menuntut permohonan maaf daripada kedua-dua defendan, aku janji untuk tidak menerbitkan kenyataan sama, ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 22 Oktober lalu, Najib menyaman Tommy kerana membuat pendakwaan salah terhadap dirinya membabitkan beberapa kes jenayah.

Najib mendakwa Tommy telah melakukan ‘misfeasans’ dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan kecuaian apabila mendakwanya dengan tuduhan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here