Operasi besar-besaran tahan PATI Disember ini – Hamzah

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=410100684073991&set=pb.100052221882081.-2207520000..&type=3

OPERASI besar-besaran bagi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejurus tamat tempoh Pelan Rekalibrasi PATI, 31 Disember depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, majikan yang masih menggaji PATI digesa tampil berdaftar supaya mereka yang berada di Malaysia mempunyai dokumen sah.

“Suka untuk saya ingatkan pelan ini merupakan suatu peluang kepada semua majikan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Menurutnya, sehingga 21 Oktober lalu, seramai 147,705 PATI telah berdaftar untuk Program Rekalibrasi Pulang.

“Daripada jumlah tersebut seramai 124,423 PATI telah pulang ke negara asal dan kerajaan menjana RM71,368,700 melalui bayaran kompaun yang dikutip,” katanya.

Hamzah berkata, kejayaan program tersebut didorong pembukaan kaunter khas sebagai pemudah cara kepulangan PATI di beberapa pintu keluar negara.

Katanya, bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja seramai 212,926 PATI telah mendaftar untuk dikategorikan sebagai pekerja sah.

“Daripada jumlah tersebut seramai 34,318 orang telah lulus pemeriksaan dan 20,889 lagi gagal. Manakala 157,719 masih belum hadir proses pemeriksaan di Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kesemua PATI yang gagal dalam proses pemeriksaan ini akan secara automatic dihantar pulang menerusi Program Rekalibrasi Pulang,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

Jelas beliau, persetujuan itu dibuat untuk memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Hamzah Zainudin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here