Najib minta Hanipa buat kiraan matematik

0
1

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menemplak Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin yang mempertikaikan lawatannya ke Singapura yang dikatakan ‘terlalu lama’.

Menurutnya, pelepasan ke Singapura itu diberikan Mahkamah Rayuan dengan keputusan ketiga-tiga hakim, bukannya daripada kerajaan.

“Jadi, buat apa kamu (Mohamed Hanipa) menyalak di Dewan Rakyat? Tak ada lagi isu penting negara ke?

“Kamu nak kerajaan campur tangan dalam urusan mahkamah atau keputusan hakim ke?,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohamed Hanipa hari ini mempersoalkan layanan istimewa kepada bekas Perdana Menteri itu setelah dibenarkan ke Singapura selama lebih sebulan.

Menurutnya, alasan diberikan Ahli Parlimen Pekan itu ke Singapura untuk melawat anaknya yang mahu melahirkan tidak masuk akal kerana Najib bukan ‘bidan’.

Katanya, sepatutnya kebenaran perlu diberikan selama lima hari sudah mencukupi kerana Najib bukan bertindak sebagai bidan untuk membantu anaknya melahirkan anak.

Sementara itu, Najib menjelaskan beliau dijadualkan berlepas ke Singapura selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung pada 20 November ini.

“Jadi saya cadang ke sana (Singapura) pada 21 November dan pulang sebelum 5 Disember untuk saya serahkan kembali pasport pada 6 Disember.

“Kalau YB (Yang Berhormat) Sepang pandai matematik, ini adalah tempoh sehingga 15 hari termasuk tempoh kuarantin di sana. Kamu ni fikir zaman pandemik sudah berakhir ke?,” katanya.

Terdahulu, Najib dilaporkan menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membantu jentera parti Umno pada PRN Melaka yang diadakan pada 20 November ini.

Ia disebabkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ketika itu akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi sakit belakangnya.

Sehubungan itu, beliau memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here