TINDAKAN Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang seolah-olah mengambil berat mengenai pandangan akar umbi Umno dilihat melucukan dan hanya sekadar ‘permainan’ ketika pilihan raya.
Antara yang ‘terkejut’ dengan keprihatinan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.
“Oh. Bila balik dari Eropah? Tak sangka ‘bro’, ambil berat dan prihatin dengan ahli Umno. Dari pemimpin ke akar umbi.
“Terima kasih atas info,” katanya sinis dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, meminta Azmin supaya menjaga urusan parti sendiri.
“Berasa agak lucu apabila Azmin mempertikai keputusan Umno di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang telah memuktamadkan tiada lagi kerjasama dengan parti Bersatu. Ia sepenuhnya membawa mandat suara akar umbi.
“Tidak langsung timbul soal Presiden menyalahgunakan kuasa dengan memaksa perwakilan daripada Bahagian seluruh negara.
“Kita tahu permainan Azmin ini yang sengaja menimbulkan keraguan kepada Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) melalui kaedah serangan peribadi,” katanya.
Menurutnya, Pemuda Umno Kelantan juga ingin menasihatkan beliau dan ‘kartel-kartel’ supaya sedar diri di mana mereka berada serta perkuatkanlah parti sendiri.
“Dapatkan suara akar umbi dari Bersatu yang juga tentunya tidak mahu bersama dengan Umno. Jangan bersikap populis tidak kena pada tempat. Kami tahu kedudukan anda di dalam Bersatu pun tidak disenangi oleh para ahli-ahli lama.
“Pepatah orang tua-tua dulu ada berkata ‘Pemimpin yang bagus adalah pemimpin yang memberi teladan baik kepada rakyatnya’.
“Apakah pemimpin yang mengkhianati mandat rakyat dan parti sendiri menjadi teladan yang baik?” soalnya.
Noor Hariri berkata, pengundi di Melaka sudah boleh menilai parti mana yang betul-betul menjaga kebajikan rakyat dan parti mana pula yang sanggup bersekongkol dengan DAP demi menjatuhkan kerajaan Melayu dahulu.
Terdahulu Azmin dilaporkan berkata, pintu rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) belum tertutup sepenuhnya, memandangkan terdapat akar umbi UMNO yang mahu ia menjadi realiti.
Beliau menyifatkan penolakan yang dibuat Presiden Umno, sebelum ini hanyalah suara peribadi pemimpin tersebut. – Malaysiapost

