Kematian pelajar selepas terima vaksin Covid-19 perlu dirungkai

0
1

KES seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Batu Pahat, yang dilaporkan meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin pertama pada 3 Oktober lalu, perlu perincian lanjut.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jika terdapat sebarang penemuan membimbangkan, mungkin wajar diwujudkan prosedur operasi standard (SOP) tambahan dalam proses vaksinasi golongan remaja.

Menurutnya, kepentingan vaksinasi sebagai mekanisme membendung pandemik Covid-19 memang tidak dinafikan, tetapi kes kematian pelajar terbabit menimbulkan persoalan.

“Insiden itu tidak boleh sesekali dianggap sebagai terpencil dan memerlukan pencerahan yang sangat jelas kepada masyarakat umum.

“Keputusan ujian sampel tisu badan yang dijangka akan diperoleh antara 24 sehingga 28 Oktober ini perlu diteliti sehabis baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau merujuk kepada kes Allahyarhamah Noor Hayati Nabila Abdullah, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolam Air Batu Pahat, yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Ahmad Zahid berkata, pertimbangan juga boleh dibuat sama ada waris remaja perempuan terbabit layak untuk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19.

“Saya mengucapkan takziah kepada waris keluarga Allahyarhamah dan mendoakan mereka tabah menghadapi kehilangan ahli keluarga tersayang.

“Saya percaya seluruh rakyat Malaysia turut berasa sedih selepas mendapat tahu tentang kes tersebut dan mahukan kebenaran dirungkai,” katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor semalam. dilaporkan masih menunggu laporan pemeriksaan lanjut Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor berhubung punca sebenar kematian seorang pelajar yang dikatakan meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata keputusan pemeriksaan lanjut itu dijangka boleh diperolehi antara 24 hingga 28 Oktober ini dan pelbagai ujian darah juga sudah dihantar ke makmal yang masih menunggu keputusan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here