Nurul Huda Abhar
VIDEO memaparkan satu majlis perjumpaan Wanita Umno di sebuah dewan tertutup yang tular di media sosial, mendapat kecaman netizen kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Majlis yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menunjukkan semua peserta wanita memakai baju berwarna biru, dan duduk dalam dewan tanpa penjarakan fizikal.
Menerusi video berdurasi satu minit 44 saat itu turut memperlihatkan beberapa peserta wanita tidak memakai pelitup muka dengan betul, hanya meletakkan di bawah dagu sambil menepuk tangan ketika Najib memasuki dewan menuju ke tempat duduknya di bahagian hadapan.
Video tersebut dimuat naik oleh akaun TikTok Najib_Razak_Fans sebelum dikongsi dalam aplikasi Telegram Covid-19 Malaysia, hari ini.
Perkongsian video tersebut disertakan dengan kapsyen yang mempersoalkan tindakan pemain-pemain politik yang tidak mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Memang tidak belajar dari pengalaman PRN Sabah ke? Geleng kepala DG Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tengok video ini. Makcik-makcik pun ramai tidak pakai mask (pelitup muka).
“Kalau iya pun mahu sangat PRN, buatlah dalam suasana yang lebih selamat. Memang tidak terkejut kalau kes naik nanti. Buka mask, duduk rapat-rapat dalam dewan tertutup tanpa penjarakan fizikal dan sebagainya,” tulis kaspsyen itu.
Rata-rata netizen kesal dengan sikap peserta dan penganjur majlis tersebut yang tidak peka dengan keselamatan walhal kes harian Covid-19 masih mencecah empat angka setiap hari.
Netizen juga berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetatkan pemantauan dari segi pematuhan SOP ketika politik sedang ‘panas’ menjelang PRN Melaka pada 20 November depan. – Malaysiapost

