RAKYAT telah matang dalam menilai parti-parti politik bagi menentukan siapakah yang layak dipilih mentadbir sesebuah kerajaan.
Malah, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengalaman keperitan yang dilalui rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu akan menjadi penanda aras dalam menentukan parti manakah yang patut dipilih untuk membela nasib mereka.
“Maka kita meyakini kebijaksanaan orang Melaka memilih parti politik yang terbaik kali ini kerana sejarah mendewasakan.
“Secara umum persepsi rakyat terhadap parti-parti politik sudah jauh berubah selepas PRU14.
“Dulu sebahagian rakyat digoda dengan pelbagai janji manis dan hasutan politik kebencian terhadap Umno. Hari ini orang Melaka sudah merasai dan mengetahui natijah politik tipu daya yang merosakkan seperti itu,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid menambah, sejarah telah mendewasakan rakyat agar memilih yang terbaik ketika mengundi dalam pilihan raya selepas ini.
Justeru, katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini adalah langkah pertama untuk rakyat Malaysia memperbetulkan keadaan dan ‘restore’ kemakmuran.
“Sesiapa sahaja boleh membuat andaian tentang apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Walau apa telahan mahupun pandangan, penentu sebenar adalah rakyat Melaka yang berkuasa untuk memilih. Mandat telah pun dikembalikan kepada mereka untuk menentukan kerajaan yang akan mentadbir Melaka.
“Insyaallah Melaka akan memilih Umno/BN kerana itulah kestabilan dan kemakmuran yang dirindui,” katanya. – Malaysiapost

