
PERDANA MENTERI mahu projek kerajaan dipantau rapi bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual, sekali gus mengelak tindakan melantik kontraktor penyelamat yang merugikan semua pihak dan menyebabkan peningkatan kos.
Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, pelantikan kontraktor penyelamat selepas kontraktor asal gagal melaksanakan projek harus dielakkan kerana ia bukan sahaja merugikan, tetapi akan turut mengecewakan rakyat yang amat mengharapkan kemudahan yang disediakan kerajaan.
“Sebab itu pemantauan perlu dijalankan bagi mengelak ia (projek) gagal disiapkan. Kita (tidak harus) ambil tindakan selepas projek itu gagal dengan melantik kontraktor penyelamat pula. Kalau boleh, saya memang tidak mahu ada kontraktor penyelamat lagi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke projek Hospital Petra Jaya, hari ini yang turut disertai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Projek Hospital Petra Jaya yang bernilai RM480 juta bermula pada 2013 dan sebelum ini dijadualkan siap pada November 2016, namun terbengkalai hingga kini.
Ismail Sabri berkata, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa hospital berkenaan yang mempunyai kapasiti 300 katil, dijadualkan siap pada 2024.
“Saya amat berharap projek itu boleh disiapkan pada 2024 dan rancangan untuk menempatkan pakar tertentu di sini akan kita bincangkan dengan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan sulung ke negeri ini selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos lalu, menghadiri taklimat rancangan untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
Mengulas taklimat berkenaan, beliau berkata, kerajaan Persekutuan bersedia membantu Sarawak berkaitan penyediaan kemudahan infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar.
“Pada taklimat itu, saya dimaklumkan keperluan kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kemudahan seperti utiliti air, jalan luar bandar selain naik taraf dan bina baharu sekolah serta kuaters guru yang perlu diberi perhatian segera. Saya sudah beri komitmen kepada kerajaan Sarawak yang kita akan bantu dari segi pembangunan luar bandar,” katanya.
Katanya lagi, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ruji Ubi untuk berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion bagi menyelesaikan perkara berbangkit berhubung keperluan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). – Malaysiapost
