PINDAAN mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetap akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Oktober ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Jaminan daripada Wan Junaidi itu dibuat selepas beberapa Ahli Parlimen dari Warisan dan DAP membangkitkan isu tiadanya Rang Undang-Undang (RUU) tersebut dalam kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat.
“Kerajaan akan meneruskan rancangan untuk membentangkan RUU mengenai pindaan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 di Parlimen pada 26 Oktober ini.
“Bagaimanapun bacaan kedua mengenai RUU itu akan dijadual semula daripada tarikh awal iaitu pada 28 Oktober ini untuk membolehkan Peguam Negara memberikan penjelasan lanjut mengenai cadangan pindaan tersebut kepada anggota kabinet,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.
Menurutnya, Kabinet pada dasarnya bersetuju dengan RUU tersebut selepas ia dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 20 Oktober lalu.
Wan Junaidi berkata, selepas Kabinet berpuas hati dengan penjelasan Peguam Negara, maka tarikh RUU itu dibentang untuk bacaan kali kedua akan ditetapkan.
“Untuk menjawab pertanyaan mereka, Kabinet telah bersetuju untuk meminta Peguam Negara menghadiri Mesyuarat Kabinet yang akan datang pada Jumaat, 29 Oktober ini untuk menjelaskan pindaan itu.
“Apabila Kabinet berpuas hati sepenuhnya dengan penjelasan itu, barulah kita boleh menetapkan tarikh baru untuk bacaan kali kedua RUU itu di Parlimen,” katanya.
Wan Junaidi juga menyenaraikan pindaan perlembagaan yang akan dibuat dalam RUU MA63 pada Selasa depan.
Misalnya meminda Perkara 1 (2) untuk mentakrifkan semula “negeri-negeri persekutuan” sebagai negeri-negeri Malaya (Semenanjung Malaysia) dan negeri-negeri Borneo (Sabah dan Sarawak).
Ia juga akan berusaha untuk meminda Perkara 160 (2) untuk memasukkan Hari Malaysia sebagai 16 September 1963 dan mentakrifkan semula “Persekutuan”.
Katanya, RUU itu mahu meminda Perkara 161A untuk mentakrifkan semula “Bumiputera” Sarawak dan membolehkan individu diberi status itu jika ibu atau bapa mereka adalah orang asal Sarawak.
Pindaan berkenaan juga akan memberi Sarawak kuasa untuk memutuskan kaum mana yang dapat diakui sebagai Bumiputera.
Pada April 2019, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) membentang RUU tersebut dan mencadangkan pindaan perlembagaan namun gagal mendapat sokongan secukupnya daripada ahli parlimen pembangkang.
Untuk rekod bagi meminda sesuatu perkara dalam perlembagaan, ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga daripada keseluruhan anggota Dewan Rakyat.
Usul dibawa PH itu gagal melepasi syarat tersebut apabila 59 anggota Parlimen berkecuali. – Malaysiapost

