YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri majlis perjumpaan semula bersama rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst tahun 1978 dan 1979 di akademi berkenaan, semalam.
Istana Negara dalam kenyataan di Facebook, berkata, keberangkatan tiba baginda disambut Komandan Royal Military Academy Sandhurst, Major Jeneral Duncan Capps dan isteri, Robyn Capps serta Penasihat Pertahanan Malaysia di United Kingdom (UK), Brigadier Jeneral Safwan Ismail.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan memberi kata-kata perangsang kepada dua Pegawai Kadet Malaysia yang sedang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst.

“Pegawai Kadet Muhammad Yaasin Kamaruddin dan Pegawai Kadet Muhammad Haikal Mohd Tukiman dijadualkan tamat latihan di Royal Military Academy Sandhurst pada Disember 2021 dan April 2022 kelak,” menurut kenyataan itu.
Dalam majlis perjumpaan semula yang berlangsung di Indian Army Memorial Room ini, Seri Paduka Baginda berkenan menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbau kenangan manis dengan para rakan kadet Intake SMC 19 yang telah menjalani latihan bersama Baginda pada tahun 1978 dan 1979.
Keberangkatan Baginda ke majlis itu turut mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka dan keakraban serta keutuhan semangat setia kawan yang telah terjalin sejak lebih 40 tahun lalu.
Royal Military Academy Sandhurst di London ini merupakan sebuah instituti latihan ketenteraan terkemuka dunia yang amat terkenal dalam pembangunan kepimpinan dan latihan asas pegawai tentera darat.
Bagi meneruskan kesinambungan tradisi, Al-Sultan Abdullah menzahirkan hasrat supaya dua anakanda baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah untuk menjalani latihan pegawai kadet di akademi berkenaan tahun depan. – Malaysiapost

