Sistem data raya dibangunkan di Sarawak, elak pertindihan projek

0
1

KERAJAAN bersetuju bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi membangunkan sistem data raya yang dapat membantu program pembangunan diselaraskan dengan lebih efisyen di negeri itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya yakin perkongsian data raya ini akan membolehkan penyelarasan semua program pembangunan di Wilayah Sarawak dimantapkan.

“Hari ini kita ada persetujuan antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak ialah berkongsi data (data raya), kita nak membangunkan satu sistem.

“Saya dah berbincang dengan Datuk KSU bahawa kita bersetuju untuk membangunkan satu sistem data raya yang boleh kita kolaborasi dengan Negeri (Sarawak), maksudnya kita kongsi data bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya, jalan kampung, ameniti sosial, rumah PPRT, baik pulih, Tadika KEMAS bawah kementerian dan keusahawanan,” katanya kepada media di Kuching, Sarawak, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, sebentar tadi.

Turut serta, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sistem data raya dalam bentuk maklumat setempat itu akan memudahkan penyelarasan diperingkat KPLB dan agensi kerajaan negeri dalam melaksanakan projek pembangunan di Wilayah itu.

Katanya, ia boleh mengelakkan pertindihan serta memudahkan pemantauan bagi setiap kawasan dan projek yang dilaksanakan.

Justeru, KPLB akan mengadakan perbincangan lanjut diperingkat pegawai tinggi kedua-dua pihak kementerian dan kerajaan Sarawak untuk penyelarasan projek pembangunan KPLB.

Menurut Mahdzir, secara pentadbirannya, penyelarasan itu akan melibatkan tiga peringkat iaitu persetujuan kementerian dan kerajaan negeri, pengurusan tertinggi KPLB dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan teknikal yang membabitkan pegawai pelaksana.

“Untuk membolehkan penyelarasan projek-projek pembangunan Persekutuan melalui KPLB kepada negeri Sarawak, (ada) empat komponen, pertamanya adalah jalan luar bandar, yang keduanya adalah bekalan elektrik luar bandar, yang ketiganya adalah bekalan air luar bandar, (dan) yang keempatnya adalah kesejahteraan rakyat yang melibatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT”, katanya.

Sementara itu, Mahdzir menjelaskan, KPLB turut akan mengambil kira cadangan Ketua Menteri Sarawak untuk menentukan program pembangunan mengikut fokus kawasan.

“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak menyebut mengenai bagaimana hendak melihat satu-satu kawasan di Wilayah Sarawak ini boleh dibangunkan.

“Jadi kita fokus kepada beberapa kawasan dan saya punya keyakinan bahawa kita diperingkat kementerian dan diperingkat Persekutuan (padankan) dengan apa yang kerajaan negeri minta dari segi kawasan mana yang (hendak dibangunkan),” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Mahdzir Khalid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here