KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan sekiranya khazanah alam terus dilindungi.
Justeru, katanya, pembangunan lestari harus dirangkumkan bukan sahaja melalui undang-undang tetapi polisi tindakan pemerintah dan pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Alam Sekitar dan komuniti setempat.
“Minggu lepas saya ada menyebut soal kelestarian alam dan bagaimana parti-parti politik harus mempunyai cadangan dasar yang jelas dan mengimbangi hasrat negara untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Saya dapat merasakan potensi sektor pelancongan negara amat besar jika kita menggandingkan usaha untuk melindungi kepelbagaian khazanah alam untuk kita wariskan kepada anak cucu kita,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi berkta, dalam isu ini semua pihak harus bersama bergandingan dan memainkan peranan untuk memelihar alam sekitar.
“Saya mahu lihat anak cucu saya masih boleh bermandi manda di Air Terjun Sungai Lasir yang jernih dan sejuk serta ‘dikejar’ oleh ikan-ikan kelah yang sihat-sihat dibela dan dijaga. Selamat Hari Alam Sekitar!,” katanya.
Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, beliau berpeluang menikmati keindahan alam di Tasik Kenyir, baru-baru ini.
“Damai dan menginsafkan, itulah perasaan saya apabila saya berpeluang untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT di Tasik Kenyir baru-baru ini.
“Terima kasih pada teman-teman Pemuda Umno Negeri Terengganu kerana bersama saya untuk menikmati antara keunikkan tarikan pelancong ke negeri ini.
“Pun begitu, demi mengelakkan mudarat berpanjangan kelak, saya berharap semua termasuklah bakal-bakal pelancong untuk mengikuti SOP yang ditetapkan oleh Pemerintah,” katanya. – Malaysiapost

