Jangan guna khidmat pengusaha pelancongan tidak berlesen – MOTAC

0
1
Kelihatan orang ramai membeli tiket ketika tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. Semalam, penjualan tiket meningkat 30 peratus susulan kebenaran merentas negeri bagi individu lengkap vaksin Covid-19 bermula Isnin lepas.

ORANG ramai yang ingin mengikuti gelembung pelancongan dinasihatkan untuk mengguna khidmat pengusaha pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan MOTAC hari ini, ia bagi mengelakkan orang ramai mengalami kerugian kerana terpedaya akibat penipuan agensi pelancongan palsu.

“Pasukan penguatkuasa MOTAC telah membuat pemantauan berterusan termasuk di atas talian susulan daripada dapatan tinjauan di Pulau Langkawi pada awal Oktober 2021 yang mendapati terdapat pelancong telah menggunakan khidmat pengusaha pelancongan tidak berlesen dengan MOTAC.

“Selaras dengan pembukaan semula sektor pelancongan, MOTAC ingin menyeru pelancong dan Keluarga Malaysia dapat menggunakan perkhidmatan pengusaha pelancongan berlesen dengan MOTAC semasa membuat tempahan pakej perkhidmatan pengangkutan, penginapan, pelancongan, tiket lawatan atau apa-apa perkhidmatan bersampingan agar dapat mengelakkan kes-kes penipuan,” katanya.

Justeru, MOTAC mengesyorkan orang ramai membuat semakan di laman portal rasminya bagi menentukan kesahihan pengusaha pelancongan berkenaan.

“Dalam hubungan ini, Keluarga Malaysia boleh membuat semakan melalui laman sesawang rasmi MOTAC sebelum membuat tempahan www.motac.gov.my/semakan/tobtab. Sehingga kini, sebanyak 4,607 pengusaha pelancongan yang berlesen dengan MOTAC,” katanya.

Pada masa sama, MOTAC mengingatkan pengusaha pelancongan berlesen agar tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana individu, ulat pakej, ‘freelance’ agensi pelancongan tidak berlesen dalam menawarkan pakej pelancongan mahupun bayaran komisen atau jualan dan diskaun.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali, selaras dengan Peraturan 6(1)(f), Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.

“Merujuk kepada Seksyen 5(2), Akta Industri Pelancongan (Akta 482), tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan, atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancongan; atau perniagaan agensi pengembaraan melainkan jika ianya merupakan sebuah syarikat dan pemegang lesen sah,” ujarnya.

MOTAC juga menegaskan, hukuman kesalahan pertama sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum sebanyak RM500,000 atau penjara 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang berulang, denda maksimum RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here