Anggota bomba dihanyut arus meninggal dunia

0
1

ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas ketika melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat semalam, meninggal dunia hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain, berkata anggota terbabit Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Diya Che Jusoh, 46, disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

“Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 3.11 pagi tadi oleh pegawai perubatan.

“Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, kira-kira 10 pagi nanti,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian anggota berkenaan dipercayai hilang pertimbangan susulan arus deras ketika memasang tali untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang anggota bomba berdepan detik cemas selepas terpaksa dikejarkan ke hospital akibat dihanyutkan arus deras ketika sedang menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat di Melaka, semalam.

Anggota tersebut yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dikatakan sedang memasang tali untuk membantu penduduk kampung ketika kejadian itu berlaku.

Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengajak Keluarga Malaysia bersama-sama mendoakan Mohd Diya kembali pulih selepas tidak sedarkan diri akibat ditimpa kemalangan sewaktu menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir, petang semalam.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi hantaran Facebook hari ini, turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Diya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here