PM minta Keluarga Malaysia doakan anggota bomba cepat sembuh

0
1
bomba lemas

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta rakyat mendoakan keadaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang ditimpa kemalangan ketika melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Melaka hari ini.

Menurutnya, anggota itu, Mohd Diya Che Jusoh dilaporkan masih belum sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan ketika operasi dijalankan di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh.

“Mendapat perkhabaran dukacita seorang anggota JBPM Melaka Tengah, Mohd Diya Che Jusoh, ditimpa kemalangan sewaktu operasi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh dan dia masih belum sedarkan diri.

“Ayuh kita semua warga Keluarga Malaysia bersama-sama menadah doa ke hadrat Allah SWT supaya keadaan mangsa bertambah baik dan sihat seperti sedia-kala,” katanya dalam hantarannya di Facebook.

Ismail Sabri juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga berikutan hujan lebat di seluruh negara, manakala beberapa kawasan dinaiki air.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Diya, 46, tidak sedarkan diri selepas rebah ke dalam air banjir ketika menjalankan operasi menyelamat dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Anggota tersebut dikatakan sedang memasang tali untuk membantu penduduk kampung ketika kejadian itu berlaku

Mangsa kemudiannya rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras, namun disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here