SUNTIKAN fisikal tambahan RM45 bilion yang dipersetujui kerajaan menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh digunakan untuk tujuan politik, terutama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata sebaliknya ia perlu diberi dalam bentuk geran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri pelancongan dan pembinaan yang kerugian sebanyak RM213 bilion akibat pandemik Covid-19.
“DAP telah mencadangkan agar pengecualian kadar faedah selama tiga bulan untuk 50 peratus rakyat terbawah turut diberikan kepada PKS, yang berada dalam kesulitan kewangan, berikutan kegagalan pengurusan krisis berkembar nasional iaitu pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang diakibatkannya.
“Sekalipun kerajaan tidak mahu mempertimbang pengecualian kadar faedah, mereka perlu pertimbangkan pengurangan kadar faedah sekurang-kurangnya dua peratus untuk PKS, industri pembinaan dan pelancongan yang sedang tenat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, terdapat keperluan segera untuk menyalurkan dana RM45 bilion kepada PKS, industri pelancongan dan pembinaan secepat mungkin bagi meredakan kebimbangan bahawa dana itu mungkin disalurkan bagi tujuan politik.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan pindaan rang undang-undang (RUU) Covid-19 untuk meningkatkan perbelanjaan sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion menjadi RM110 bilion.
RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 bertujuan bagi meningkatkan had hutang berkanun kerajaan persekutuan daripada 60% menjadi 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, peruntukan tambahan itu sangat penting untuk pemulihan perniagaan, kesihatan dan ekonomi negara. – Malaysiapost

