PERGERAKAN Belia Inspirasi menyeru golongan muda memupuk semangat perpaduan sekali gus menerapkan budaya bekerjasama pelbagai kaum untuk membentuk pemimpin masa hadapan.
Wakil NGO itu, V Moganraj berkata, masyarakat yang lebih baik dan bertamadun dapat diwujudkan jika belia mampu bekerja sebagai satu pasukan dengan berideologi.
Justeru, katanya, pihaknya melaksanakan Program Pooja Khas Tahunan ke-12 yang mengutamakan topik kepentingan untuk memupuk semangat perpaduan dalam jiwa belia masa kini.
“Program ini mengutamakan topik pentingnya memupuk kebijaksanaan dan semangat perpaduan dalam jiwa generasi muda.
“Ia bagi membentuk satu budaya berkerjasama belia pelbagai kaum yang utuh dan jitu demi membentuk pemimpin berwibawa dan negara berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pergerakan Belia Inspirasi, Adib Hakimi turut hadir memeriahkan program dengan memberi anak pokok kepada setiap peserta yang hadir menjayakan program motivasi itu.
Program yang dihadiri 20 pelajar dan belia serantau itu, buat pertama kali menampilkan pemuda NGO yang terdiri daripada golongan muda. – Malaysiapost

